BERITA UTAMA

Ribut: RM1.6 juta bantu baiki rumah rosak

SHAH ALAM, 15 OGOS: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM1.6 juta untuk membantu penduduk di daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor membaiki rumah mereka yang rosak ekoran ribut, pada 10 Ogos lalu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sebanyak 509 rumah dikenal pasti terjejas ekoran fenomena alam itu, namun 100 daripadanya masih dinilai kadar sebenar kerosakannya.

“Kita sudah membuat hitung kira dan kita akan bantu perbaiki mengikut kadar kerosakan. Ada kerosakan (rumah) itu minimum, ada kerosakan yang kritikal dan sebagainya.

“Jumlah peruntukan itu adalah gabungan dana daripada Kerajaan Negeri dan agensi terbabit seperti Lembaga Zakat Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Selebihnya akan dibiayai Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) melalui dana tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata, buat masa ini, masih terdapat beberapa proses yang perlu diselesaikan sebelum menyalurkan peruntukan membaiki rumah terjejas itu, beliau namun memberi jaminan, ia akan dilakukan secepat mungkin.

Ditanya sama ada Kerajaan Negeri berhasrat memohon bantuan tenaga kerja daripada Angkatan Tentera Malaysia atau pasukan beruniform lain untuk membantu membaiki rumah yang rosak itu, katanya, ia bergantung kepada keadaan sama ada perlu dilakukan secara segera atau tidak.

Pada 10 Ogos lalu, ratusan kediaman di sekitar dua daerah itu termasuk di kawasan Sungai Besar, Sekinchan dan Tanjong Karang dilaporkan rosak teruk akibat ribut berkenaan.

Susulan itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan awal RM500 kepada keluarga yang terjejas melalui pejabat daerah dan tanah di kedua-dua lokasi berkenaan.

-BERNAMA


Pengarang :