AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Ribut Sabak Bernam: Atasi kesan bencana seawal tiga minggu

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kelewatan bantuan ke lokasi terjejas akibat ribut di Sabak Bernam ekoran ia membabitkan banyak kediaman dan kos yang besar, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri tekad menyelesaikan isu terbabit sebaik mungkin bagi memastikan semua nasib mangsa bencana terbela.

“Memang bantuan lambat kerana ia membabitkan (banyak) rumah. Kalau hanya mahukan skor politik, kita boleh berikan sekampit beras tapi itu tidak selesaikan masalah.

“Kita ingin selesaikan masalah utama seperti yang dilakukan ketika insiden ribut di Felda Soeharto, Gombak dan Tanjung Karang. Ia berjaya selesaikan tetapi mengambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Sesi Kedua Dialog Bajet 2020 di Hotel Concorde, hari ini.

Katanya, kerosakan besar yang berlaku akibat ribut itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga minggu atau sebulan setengah.

“Ribut adalah bencana alam dan apa yang penting dalam pengurusan bencana adalah penyelarasan. Selangor lebih ke hadapan berbanding negeri lain kerana mempunyai unit dan pegawai khas dalam pengurusan bencana.

“Kita sedia terima kritikan dan sedia memperbaiki bagaimanapun, simpatilah dengan pegawai kita sebab ribut berkenaan membabitkan lebih 500 rumah,” katanya.

Pada 10 Ogos lalu, Amirudin ketika melawat mangsa ribut memaklumkan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam akan memberikan bantuan awal sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terjejas.


Pengarang :