AGENDANASIONAL

Ringgit teruskan aliran menurun

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Ringgit meneruskan aliran menurun sejak semalam untuk dibuka rendah pagi ini ekoran pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kebimbangan terhadap pertikaian perdagangan AS-China, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, ringgit diniagakan 4.2120/2150 berbanding dolar AS daripada 4.2110/2150, pada Selasa.

Menurut laporan berita, AS akan mengenakan levi tambahan lima peratus tarif ke atas barangan China bernilai US$300 bilion bermula 1 September ini.

Cukai itu, yang pada asalnya ditetapkan pada 10 peratus, kini akan menjadi 15 peratus.

Prestasi ringgit juga seiring yuan China yang terus merosot berbanding dolar AS ekoran pertikaian perdagangan itu.

Pada 5 Ogos, yuan China dilaporkan jatuh ke paras terendahnya dalam tempoh sedekad, apabila ia bernilai lebih daripada tujuh bagi setiap dolar AS.

“Prestasi lemah terus kekal apabila ringgit dipengaruhi oleh penurunan nilai yuan China kerana kekukuhan dolar menjejaskan pasaran modal Asia yang terkesan ekoran impak negatif perang perdagangan,” kata Rakan Urusan VM Markets Pte Ltd Stephen Innes.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.0337/0370 daripada 3.0330/0370 pada Rabu tetapi naik berbanding yen kepada 3.9743/9783 daripada 3.9798/9847.

Ia diniagakan tinggi berbanding euro kepada 4.6686/6723 daripada 4.6704/6753 pada Rabu tetapi susut berbanding pound Britain kepada 5.1441/1482 daripada 5.1353/1419.

-BERNAMA


Pengarang :