Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Risiko penurunan ekonomi tidak ketara, tiada kemelesetan

KUALA LUMPUR,19 OGOS: Masih terdapat risiko penurunan ke atas ekonomi Malaysia pada 2019 selepas mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh pada suku kedua, namun, kemelesetan ekonomi dijangka tidak berlaku, menurut RHB Bank dalam unjuran ekonominya hari ini.

Walaupun risiko penurunan terhadap unjuran ekonomi bagi tempoh yang masih berbaki kelihatan tidak signifikan, ia dijangka berterusan sehingga 2020 berikutan ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat (AS)-China, menurut bank itu.

“Walaupun Bank Negara Malaysia (BNM) dilihat berhati-hati bagi prospek ekonomi 2020, perbincangan kami bersama pegawainya menjangka kemeseletan ekonomi di peringkat global (pertumbuhan negatif global) tidak berlaku, begitu juga terhadap Malaysia,” katanya

Mereka juga yakin Malaysia mungkin tidak terkecuali sepenuhnya daripada Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) FTSE Russell dalam kajian semula pada September.

“Kami sedia maklum bank pusat terlibat aktif dalam FTSE Russell untuk menambah baik iklim pelaburan di pasaran kewangan,” katanya.

Bank itu juga berpendapat satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan berlaku dalam masa tedekat sebagai langkah awal bagi menyokong pertumbuhan global sekiranya perang perdagangan antara Beijing dan Washington semakin meruncing.

“Ini berkemungkinan berlaku pada akhir suku keempat 2019 atau suku pertama 2020 dan BNM dijangka menunggu tinjauan FTSE Russell pada September untuk diluluskan sebelum melaksanakan langkah selanjutnya,” katanya.

RHB berkata Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri, Dr Muhammed Abdul Khalid pada mesyuarat terbaharu berkata kerajaan akan pragmatik terhadap dasar fiskal.

Menurut bank itu, kesan perang perdagangan sejak Julai 2018 terhadap ekonomi global dan Malaysia akan berlaku pada separuh pertama 2019, manakala perang perdagangan yang meningkat pada Mei 2019 akan memberi kesan pada separuh kedua 2019.

“Sekiranya Amerika Syarikat (AS) terus mengenakan tarif itu kepada lebihan import US$300 bilion dari China, kami berpendapat impak tersebut dijangka dirasai pada separuh pertama 2020.

“Di tempat lain, AS mengancam untuk mengenakan tarif import dari Perancis, selepas Perancis mengenakan cukai digital tiga peratus ke atas syarikat teknologi AS seperti Facebook dan Google, menyebabkan wujudnya potensi perang perdagangan baharu,” katanya.

Pada minggu lepas, Rumah Putih dilapor mengambil keputusan menangguhkan pengenaan tarif import tambahan ke atas barangan China sehingga Disember ini.

– BERNAMA


Pengarang :