PBTSELANGOR

RM1,500 menanti juara kutip minyak masak terpakai

KAJANG, 3 OGOS: Hadiah wang tunai RM1,500 bakal menanti juara Pertandingan Kutipan Minyak Masak Terpakai anjuran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

MPKj dalam kenyataan memaklumkan, pertandingan itu terbuka kepada semua komuniti, persatuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sekitar kawasan pentadbirannya.

“Penyertaan dibuka hingga 9 Ogos ini dan kita akan memulakan kutipan minyak masak terpakai dari 12 Ogos berakhir pada 11 November.

“Borang pendaftaran boleh dimuat turun di laman sesawang MPKj di www.mpkj.gov.my,” katanya.

Naib juara berpeluang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan sijil, ketiga RM800 (piala dan sijil), manakala keempat dan kelima masing-masing RM500 serta RM300 (piala dan sijil).

Katanya, pertandingan itu dibentuk sebagai inisiatif ke arah penjagaan alam sekitar bagi komuniti di sekitar kawasan Pihak Berkuasa Tempatan terbabit.

“Ia juga memberi peluang kepada komuniti dalam usaha memelihara alam sekitar daripada pencemaran minyak masak terpakai ke dalam sumber air dengan cara mengumpul minyak masak berkenaan untuk dikitar semula menjadi biodisel, lilin dan bahan pencuci,” katanya.


Pengarang :