Rodziah Ismail bersama sebahagian peserta Majlis Ibadah Korban di Pusat Wanita Berdaya DUN Batu 3, Seksyen 24, di sini, 12 Ogos 2019.
ADNSELANGOR

Rodziah puji semangat kerjasama golongan belia dan veteran

SHAH ALAM, 12 OGOS: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail memuji semangat kerjasama antara golongan belia dan veteran dalam menjayakan ibadah korban peringkat daerahnya di Pusat Wanita Berdaya DUN Batu 3, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, beliau berharap budaya itu akan diteruskan pada masa akan datang dan semua peserta yang terlibat dapat menghayati ibadah korban sebaik-baiknya.

“Saya memuji semangat peserta kerana sejak awal pagi tadi sudah mula hadir untuk menyertai majlis ibadah korban ini.

“Saya berharap semoga kita semua dapat menghayati pengertian ibadah korban sebaik-baiknya.

“Malah, saya juga ingin memastikan lebih ramai anak muda dapat belajar dan terlibat untuk ambil alih melakukan ibadah korban pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Korban Perdana yang diadakan di Pusat Wanita Berdaya DUN Batu 3, Seksyen 24, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan ekor lembu dikorbankan pada Majlis Korban Perdana tersebut dengan penglibatan 200 petugas yang terdiri daripada golongan belia dan veteran.

Rodziah yang juga EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi berkata, Seksyen 24 dipilih memandangkan kawasan itu rata-ratanya mempunyai penduduk berpendapatan sederhana.

“Penglibatan peserta hari ini menunjukkan bahawa ibadah korban adalah komitmen untuk semua dan ia bukan tugas orang masjid dan surau sahaja sebaliknya semua perlu terlibat.

“Saya memuji penglibatan semua orang pada hari ini dah berharap ia akan meningkat setiap tahun,” katanya.


Pengarang :