AGENDANASIONAL

RON97 turun 2 sen, RON95 dan diesel kekal

SHAH ALAM, 2 OGOS: Harga runcit petrol RON97 turun dua sen iaitu daripada RM2.56 kepada RM2.54 seliter bermula tengah malam ini sehingga 9 Ogos depan.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini berkata, RON95 dan diesel bagaimanapun masing-masing kekal pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter untuk tempoh sama.

Kenyataan itu memaklumkan, berdasarkan pengiraan di bawah formula Mekanisme Harga Automatik, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh itu sepatutnya adalah sebanyak RM2.24 dan RM2.33 seliter.

“Ini menunjukkan penurunan dari minggu lalu bagi harga runcit RON95 yang berada pada paras RM2.26 seliter dan kenaikan bagi harga runcit produk diesel pada paras RM2.31 seliter.

“Namun, harga runcit bagi kedua-dua produk dikekalkan pada paras RM2.08 dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum serta menjaga kesejahteraan ekonomi rakyat,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kewangan berkata, anggaran subsidi yang perlu ditanggung kerajaan bagi tempoh berkenaan adalah berjumlah RM85.78 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM61.33 juta subsidi diperuntukkan untuk produk RON95 manakala subsidi bagi diesel adalah RM24.45 juta,” katanya.


Pengarang :