AGENDAJENAYAH

Rugi RM12,500 akibat ‘majistret’ palsu

KUANTAN, 17 OGOS: Panik dihubungi ‘majistret’ menyebabkan seorang peniaga pasar malam kehilangan wang simpanan berjumlah RM12,500 selepas memindahkannya ke akaun individu tidak dikenali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa ‘majistret’ bernama Suraya, kononnya berkhidmat di Terengganu menghubunginya pada 3 petang, Khamis lepas.

‘Majistret’ itu mendakwa mangsa mempunyai kes tunggakan kad kredit berjumlah RM10,000 di mahkamahnya dan perlu membuat bayaran jika mahu menyelesaikan kes tersebut segera.

“Selang beberapa jam kemudian, suspek sekali lagi menghubungi mangsa bagi memberi arahan untuk ke bank berhampiran bagi mendepositkan wang sebanyak RM2,500.

“Mangsa kemudiannya diarahkan untuk menunggu panggilan pada Jumaat, yang mana suspek sekali lagi memberi arahan melalui telefon untuk memasukkan duit ke dalam akaun yang diberikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mula curiga apabila ‘majistret’ itu terus memutuskan panggilan setelah transaksi perbankan tamat, menyebabkan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan dekat sini, semalam.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA


Pengarang :