AGENDAJENAYAH

Rugi RM67,664 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

KUCHING, 4 OGOS: Polis Sarawak menerima empat laporan berkaitan kes penipuan pinjaman tidak wujud yang melibatkan kerugian berjumlah RM67,664, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, kes pertama membabitkan wanita berusia 33 tahun, yang bekerja sebagai kerani di Serian.

“Katanya, mangsa telah melayari facebook dan berminat dengan satu iklan berbentuk pinjaman peribadi, dan membuat pinjaman berjumlah RM30,000.

“Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa transaksi untuk proses pengeluaran pinjaman. Mangsa kemudian menukar fikirannya dan mahu membuat pembatalan pinjaman, namun perlu pembayaran berjumlah RM27,164 untuk proses pembatalan dan kononnya duit itu akan dikembali,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mustafa berkata, mangsa telah membuat transaksi sebanyak 19 kali ke akaun berlainan yang melibatkan kerugian berjumlah RM55,604.

Kataya, kes kedua melibatkan lelaki berusia 30 tahun dari Sibu yang membuat pinjaman melalui aplikasi Whatapps berjumlah RM20,000.

“Mangsa telah diarahkan membuat bayaran berjumlah RM2,400 sebanyak untuk polisi insuran, bayaran syarat perjanjian pinjaman, membersihkan nama di CCRIS dan pembukaan akaun baru. Mangsa menyedari diri ditipu apabila duit pinjaman itu tidak dimasukkan ke akaun miliknya, walaupun bayaran telah dibuat,” katanya.

Kes penipuan ketiga dan keempat masing-masing di Miri yang melibatkan wanita berusia 26 tahun dan lelaki berusia 45 tahun.

“Wanita yang bekerja sebagai jururawat itu kerugian RM9,060 setelah membuat pinjaman melalui facebook. Manakala lelaki yang bekerja sebagai pengurus operasi mengalami kerugian RM600 setelah terpedaya untuk membuat pinjaman menerusi panggilan telefon,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :