Kanak-kanak yang mendiami rumah yatim di Selangor sama-sama memasang Jalur Gemilang bagi menyambut Hari Kebangsaan. Foto Foto YIDE
AGENSISELANGOR

Rumah anak yatim, pusat dialisis meriahkan Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sempena menyemarakkan bulan Kemerdekaan, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) mengambil inisiatif mengibarkan bendera Jalur Gemilang di rumah anak yatim dan pusat dialisis Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah berkata, penghuni di 15 buah rumah anak yatim dan staf di enam pusat dialisis terbabit turut teruja untuk menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan yang ke-62.

Katanya, ia bertepatan dengan tema Kemerdekaan, “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini merupakan inisiatif setiap rumah kebajikan dan Pusat Dialisis MAIS bagi menzahirkan semangat Kemerdekaan sekali gus menanam semangat patriotik dalam diri anak yatim dan pesakit dialisis,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Nur Mohd Razali berkata, YIDE turut mengalu-alukan rumah kebajikan anak yatim di Selangor berdaftar di bawahnya.

“Ia bertujuan supaya YIDE dapat memantau dan membuat naziran kepada semua rumah anak yatim serta dapat menyalurkan peruntukan pentadbiran melalui geran tahunan,” katanya.

YIDE adalah agensi di bawah MAIS dan dipertangungjawabkan menjalankan aktiviti kebajikan di Selangor.

Antara fokus lain, YIDE juga menyampaikan bantuan secara segera kepada mangsa yang ditimpa malapetaka dan menyediakan rawatan hemodialisis kepada masyarakat Selangor.


Pengarang :