AGENDANASIONAL

RUsSEL anjur Pesta Genta 17-18 Ogos ini

SHAH ALAM, 7 OGOS: Rumah Seni Selangor (RUsSEL) bakal menganjurkan Pesta Genta selama dua hari bermula 17 sehingga 18 Ogos ini.

Penolong Pengurus RUsSEL, Alina Abdullah berkata, genta atau loceng merupakan pesta keramaian seni yang meraikan acara seni rupa, muzik, sastera, jualan kraf dan produk mandiri.

Katanya, orang ramai dialu-alukan untuk memeriahkan Pesta Genta kerana ia bakal menyajikan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa.

“Pesta Genta adalah hari temasya bagi meraikan kumpulan seni atau komuniti setempat dan luar negara.

“Saya berharap dengan kehadiran orang ramai kelak akan memeriahkan Pesta Genta sekali gus memberi peluang kepada anak seni meluahkan kekreatifan serta mendedahkan masyarakat kepada penghayatan seni,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menurut beliau, antara aktiviti yang diadakan ialah seperti pameran, persembahan akustik, sembang seni, santai sinema dan monolog.

Turut diadakan bengkel seni iaitu bengkel cetakan saring sutera, bengkel membuat lencana butang, bengkel lakonan teater dan bengkel anyaman.

Difahamkan, Pesta Genta turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Negeri dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Pengarang :