Alex Yoong (kiri) mahu pelumba meneruskan latihan sebelum bersaing pada pusingan separuh akhir eRacing Grand Prix SEA 2019 yang bakal berlangsung hujung minggu ini.
AGENDASUKANKINI

Saingan separuh akhir eRacing Grand Prix SEA 2019 semakin mendebarkan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Saingan separuh akhir eRacing Grand Prix SEA 2019 semakin mendebarkan apabila 45 peserta bakal merebut tempat untuk beraksi di pentas akhir hujung minggu ini.

Pengasas Axle Motorsport, Alex Yoong optimis bahawa pertandingan edisi sulung ini akan menghadirkan saingan yang sengit buat para pelumba di peringkat separuh akhir bagi merebut 15 slot pada peringkat akhir.

“Sepanjang pemerhatian saya, saya begitu teruja dengan potensi dan juga bakat yang dipamerkan oleh para peserta khususnya mereka yang menjadi 45 pelumba terbaik.

“Saya turut menyaksikan peserta yang mempunyai skil yang luar biasa ketika berlumba dan saya yakin kita akan disajikan dengan saingan yang lebih menarik.

“Untuk saingan yang akan datang, kita akan pastikan format pertandingan lebih menarik untuk para pelumba dengan menyediakan pelbagai format perlumbaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepada para pelumba untuk bersedia dan berlatih menggunakan simulator kerana banyak kejutan akan menanti mereka pada pusingan separuh akhir dan pusingan akhir.

“Banyakkan berlatih dan menyesuaikan diri dengan berlumba di pelbagai litar serta menggunakan jentera yang berbeza. Tambahan, peserta juga perlu menggunakan jenis tayar yang berlainan kerana kita akan pastikan ada elemen kejutan untuk pusingan akan datang nanti,” katanya.

Peringkat separuh akhir yang berlangsung di Pusat Membeli Belah 3 Damansara menyaksikan semua pelumba dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu merah, biru dan hijau

Semua peserta turut mendapat bimbingan daripada pelumba profesional tempatan seperti Adam Khalid, Timothy Yeo dan James Veerapan.

Dalam perkembangan sama, pelumba terpantas pada pusingan ujian masa Mior Muhammad Hafiz, 25, telah bersedia untuk beraksi serta menetapkan sasaran mara ke pusingan akhir.

Beliau yang mencatatkan 1:56,945s pada ujian masa turut yakin dengan kesan positif yang dibawa eRacing Grand Prix kepada sukan elektronik (esports) dan sukan permotoran.

“Selepas sesi ujian masa, saya banyak berlatih untuk memperbaiki prestasi menjelang separuh akhir. Saya memiliki minat yang besar terhadap sukan permotoran dan saya berazam untuk beraksi dengan cemerlang untuk menjadi juara keseluruhan.

“Kita tahu bahawa sukan elektronik sedang rancak membangun dan ramai anak muda yang terbabit dengan sukan ini. Dengan pendedahan dan panduan yang betul, sudah pasti kita akan menjadi jaguh pada peringkat antarabangsa,” katanya.


Pengarang :