EXCOSELANGOR

Sambut baik hasrat FAMA bangunkan tanah wakaf

SHAH ALAM, 29 OGOS: Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor untuk membangunkan tanah wakaf terbiar bagi penanaman pokok buah-buahan tempatan.

EXCO Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk memanfaatkan tanah wakaf atau terbiar dengan tanaman yang dapat memberi hasil tinggi termasuk buah-buahan.

Beliau berkata, pihaknya turut sedia mencari penyelesaian jika tanah berkenaan mempunyai isu tersendiri.

“Walaupun tanah ini ada isu tersendiri, kita akan mencari jalan penyelesaian terutama jika ia tanah milik persendirian.

“Usaha ini akan dikenal pasti membabitkan program agro bandar dan kebun komuniti,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata, Selangor mempunyai banyak tanah terbiar yang berpotensi untuk dibangunkan, namun akan mengambil sedikit masa bagi menjayakan usaha terbabit.

Beliau turut menyatakan kesediaannya berbincang dengan FAMA bagi merealisasikan hasrat berkenaan.

“Ada banyak tanah terbiar, sebagai contoh di sepanjang Sungai Klang, kita mengenal pasti di kawasan itu sahaja terdapat ratusan ekar,” katanya.

Terdahulu, Pengarah FAMA Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin berhasrat membangunkan tanah wakaf sebagai langkah memanfaatkannya untuk penanaman dan pengeluaran buah-buahan tempatan.

Katanya, antara lokasi berpotensi adalah Sabak Bernam atau Kuala Selangor.


Pengarang :