EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

SARANG Ekonomi Desa tingkat ekonomi penduduk luar bandar

KUALA SELANGOR, 26 OGOS: Kerajaan Negeri melaksana SARANG Ekonomi Desa, sebuah program pembangunan dan peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar secara komprehensif bercirikan bimbingan serta pemudahcaraan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, Kuala Selangor dipilih sebagai kawasan perintis selama enam bulan bermula Ogos ini dan ia bakal memanfaatkan 55 kampung serta penduduk sekitar.

Katanya, matlamat program itu adalah bagi meremajakan ekonomi desa setempat dan merancakkan serta mempelbagaikan aktiviti perniagaan khususnya di lokasi tumpuan pelancong seperti Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

“Potensi pendapatan baharu dan tambahan boleh dijana melalui khidmat promosi pelancongan, restoran dan hidangan makanan laut, penginapan, cenderamata dan kraftangan pelancongan serta rekreasi kampung yang bakal memberi manfaat kepada peserta program dibimbing.

“Kerajaan Negeri berhasrat program ini bukan sahaja memacu pembangunan lestari kawasan luar bandar tetapi meningkatkan tahap pendapatan penduduk tanpa perlu berhijrah ke kawasan bandar,” katanya dalam kenyataan.

Rodziah berkata, keberkesanan program itu akan dilihat secara menyeluruh khususnya aspek pulangan pelaburan dengan harapan ia boleh diteruskan pada tahun akan datang.

Katanya, bagi tahun depan, Kerajaan Negeri merancang untuk melaksanakannya di daerah lain serta berpandu kepada hasil pelaksanaan program pada tahun ini.

“Kerajaan Negeri komited dalam usaha meningkatkan purata pendapatan seisi rumah di Selangor kepada RM6,000 sebulan menjelang 2025 termasuk kawasan luar bandar dengan adanya program seperti ini.

“Kita mengambil maklum mengenai isu infrastruktur fizikal dan internet yang menjadi keperluan penting dalam pembangunan luar bandar.

“Oleh itu, Jawatankuasa Pemandu Program SARANG Ekonomi Desa turut ditubuhkan iaitu jabatan dan agensi kerajaan berkaitan yang terbabit secara menyeluruh bagi memastikan keperluan infrastruktur diberi perhatian serta tindakan sewajarnya,” katanya.

Menerusi program perintis itu, katanya, Kerajaan Negeri menyasarkan seramai 200 peserta sekitar Kuala Selangor manakala 50 bakal dipilih untuk menjalani program terbabit.


Pengarang :