Sel kanser
AGENDANASIONAL

Satu perempat penduduk berisiko hidap kanser

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Satu daripada empat penduduk berisiko menghidap kanser pada usia 75 tahun, sekali gus menjadikan penyakit itu punca kedua tertinggi kematian di negara ini, menurut statistik Kementerian Kesihatan.

Pakar Perunding Onkologi Perubatan Hospital Beacon, Dr Azura Rozila Ahmad berkata, selain menggalakkan saringan kesihatan seperti mamogram dan pap smear sebagai langkah pengesanan awal, individu juga perlu peka terhadap perubahan dialami.

“Ramai tidak mengambil berat gejala awal kanser dan hanya mendapatkan rawatan apabila sudah kritikal, kerana beranggapan mereka tidak mempunyai risiko atau tiada anggota keluarga menghidap penyakit kronik.

“Sebenarnya, 30 hingga 50 peratus daripada kanser boleh dicegah dengan mengamalkan gaya hidup sihat, berat badan ideal atau memperbanyakkan makan buah-buahan dan sayur-sayuran, senaman dan menghentikan pengambilan alkohol serta tabiat merokok,” katanya menurut laporan asal BH Online.

Beliau berkata demikian pada program Health Awareness Cancer: What You Need To Know di Balai Berita NSTP di sini, semalam.

Katanya, kanser bukan saja menunjukkan pertumbuhan cepat, malah berisiko merebak dengan cepat.

Justeru, Dr Azura Rozila berkata, setiap individu perlu mengamalkan pemakanan sihat dan mengurangkan pengambilan daging merah, tinggi lemak, minuman beralkohol serta tidak merokok.

“Berat badan dengan indeks jisim tubuh melebihi 40 atau obesiti lebih cenderung menghidap kanser, berbanding mereka dengan berat badan normal.

“Merokok pula menyumbang kepada 30 peratus kematian akibat kanser, 80 peratus kematian akibat kanser paru-paru dengan keseluruhan 20,000 kematian setahun di negara ini.

“Di Malaysia, kanser paru-paru adalah yang ketiga paling lazim selepas barah payudara dan usus besar (kolorektal). Ia selalunya lambat dikesan dengan kebanyakan pesakit hanya menemui doktor apabila berada pada tahap akhir.

“Kanser paru-paru terbentuk apabila sel paru-paru yang normal mengalami beberapa peringkat perubahan atau mutasi, dan mula membesar serta tumbuh tanpa kawalan,” katanya.

Perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kira-kira 70 peratus penduduk di negara berpendapatan rendah dan sederhana, terdedah kepada risiko kanser dengan peningkatan 60 peratus dalam tempoh 20 tahun.


Pengarang :