AGENDANASIONAL

Sawit Kinabalu cipta jentera urus kerja lebih efisyen

TAWAU, 4 OGOS: Langkah sebuah syarikat berkaitan kerajaan, Sawit Kinabalu memperkenalkan jentera mekanikal yang dicipta sendiri, adalah satu usaha baik syarikat itu ke arah gerak kerja lebih efisien, jimat serta relevan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, peralatan yang dicipta itu walaupun teknologinya tidak begitu canggih, tetapi berfungsi dengan baik, sekali gus syarikat menjadi perintis dalam penggunaannya.

“Antara jentera saya lihat tadi ada Sawit Tambadau, Sawit ‘Crawler’, peralatan ini masing-masing berfungsi, termasuk untuk mengambil dan memunggah longokan buah, ini bukan hanya membolehkan penjimatan kos kerana tidak menggunakan pekerja, malahan dari segi masa pungahan lebih baik dan pantas ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat tapak jentera mekanikal ciptaan Sawit Kinabalu di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, meskipun Sawit Kinabalu berhadapan pelbagai ketidaktentuan masalah sawit di dunia, itu tidak melemahkan syarikat itu malahan menunjukkan semangat tinggi dan sifat kompetitif.

“Sawit Kinabalu merupakan satu GLC yang mempunyai keluasan ladang agak besar, dan kita sedar dan tahu bawa permintaan dan harga kelapa sawit cukup tidak menentu, dan agak berpanjangan dari segi kejatuhan harganya.

“Selain masalah mendapatkan pekerja atau buruh yang selalunya tidak kekal di satu-satu ladang (pekerja pindah bergantung kepada upah ditawarkan) dan masalah ini turut membimbangkan, namun apabila syarikat ini memperkenalkan peralatan sendiri yang lebih jimat, efisien dan relevan itu memberi kesan positif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan syarikat GLC lain agar mengambil contoh inisiatif Sawit Kinabalu dalam menangani masalah kos pengeluaran tetapi masih kompetitif.

Selain itu, Mohd Shafie turut menekankan keperluan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan, dalam usaha semua ladang-ladang di Sabah dapat meningkatkan pengeluaran kapasiti, mengurangkan kos dan memaksimumkan keuntungan produk dihasilkan.

– BERNAMA


Pengarang :