SELANGOR

Sayangi Klinikku pupuk kesedaran masyarakat jaga fasiliti

KLANG, 1 OGOS : Program Sayangi Klinikku yang mula dilancarkan di peringkat Parlimen Kota Raja hari ini diharap mampu memupuk masyarakat untuk menjaga fasiliti dengan baik terutama ketika berada di klinik.

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu berkata, beliau optimis pesakit atau kakitangan di klinik untuk bersama sentiasa menjaga harta awam seperti harta sendiri.

Katanya, kempen yang dijayakan bersama Smile Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) Hub dan NGO tempatan itu adalah dengan menganjurkan gotong-royong bersama komuniti.

“Kempen ini bukan sekadar “one off” tetapi pejabat parlimen saya dengan kerjasama rakan strategik berhasrat untuk menjalankan kempen ini di semua klinik dalam kawasan Parlimen Kota Raja.

“Sesungguhnya kesedaran dan keprihatinan warga yang menggunakan kemudahan awam masih belum mencapai tahap memuaskan dan saya berharap kempen seperti ini seharusnya dilaksanakan secara berulang supaya masyarakat peka terhadap keadaan sekeliling.

“Jagalah tempat ini supaya sentiasa kekal cantik kerana ia milik kita semua,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat dan Pelancaran Program Sayangi Klinikku peringkat Parlimen Kota Raja, di Klinik Kesihatan Bukit Naga, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud; EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim; EXCO Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau dan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Terdahulu, Mohamad turut meluangkan masa hampir setengah jam untuk beramah mesra dengan penduduk dan bersama bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar Klinik Kesihatan Bukit Naga.


Pengarang :