AGENDANASIONAL

Sedia rangka mekanisme ADN isytihar harta

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan saranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya Ahli Dewan Negeri (ADN) turut mengisyitharkan harta seperti dilakukan Ahli Parlimen.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan merangka mekanisme dan melakukan perbincangan lanjut berhubung perkara itu kerana keutamaan pengisyitiharan harta sebelum ini tertakluk kepada kuasa eksekutif.

“Kita sedia merangka dan berbincang jika ada keperluan untuk ADN isytihar harta seperti di Parlimen. Tetapi sebahagian besar (ADN) tidak terbabit dalam kuasa eksekutif sebab itu keputusan Kerajaan Negeri sebelum ini mengehadkan kita isytihar harta pada EXCO.

“Sudah tentu ada juga peruntukan pusat khidmat bernilai ratusan ribu setiap tahun tetapi kita akan buat sebab ada kes membabitkan ADN yang terima rasuah, maka kita rasa boleh buat untuk ADN (selepas ini),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Amirudin sebelum itu mengetuai lafaz ikrar dan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sambil disaksikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim.

Turut menandatangani IBR, EXCO Kerajaan Negeri yang dimulakan dengan Dato’ Teng Chang Khim, Ir Izham Hashim, Datuk Abdul Rashid Asari, Ng Sze Han, Hee Loy Sian dan Dr Siti Mariah Mahmud.

IBR adalah satu janji dan komitmen yang dibuat oleh kepimpinan organisasi dan warganya atas kapsiti individu untuk sesekali tidak terbabit dalam kesalahan rasuah atau salah guna kuasa.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri terus konsisten mencegah rasuah dengan menyediakan mekanisme tersendiri serta melakukan pengisytiharan harta sejak 2010.

“Sekarang dalam mesyuarat anak syarikat Kerajaan Negeri, Mesyuarat EXCO dan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, mempunyai impak besar dalam soal perolehan, kita mewajibkan semua ahli mesyuarat untuk tandatangan dokumen yang menyatakan mereka bebas dari sebarang kaitan terhadap keputusan dibuat.

“Praktis itu juga dilakukan di Pihak Berkuasa Tempatan kerana ketika itu pandangan kita tidak guna berikrar tetapi tidak menyediakan mekanisme.

“Sekarang kita sudah sediakan mekanisme dalam tempoh satu atau dua tahun dan menjadi budaya pentadbiran, maka kita lanjutkan kepada komitmen terhadap IBR,” katanya.


Pengarang :