Seramai 16,877 anggota polis, tentera dan pasangan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRN Sabah di 55 pusat mengundi.
AGENDANASIONAL

Sekolah Rukun Negara didik belia politik sihat

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Langkah menurunkan usia mengundi daripada 21 kepada 18 tahun kini disusuli dengan usaha mendidik pengundi muda melalui program Sekolah Rukun Negara (SRN) untuk membolehkan generasi itu melaksanakan kewajipan dengan penuh tanggungjawab.

Program SRN yang bakal dilancarkan adalah hasil cetusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat berada dalam landasan tepat untuk mendedahkan golongan muda kepada amalan demokrasi negara.

“Program SRN khususnya ditujukan kepada belia berumur 18 hingga 25 tahun dalam usaha mewujudkan kesedaran politik yang sihat serta kefahaman akan hak mereka sebagai pengundi baharu,” kata Pegawai Tugas-tugas Khas KBS, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung peranan SRN.

Silibus program SRN yang dirangka khusus masih di peringkat penggubalan dan ia turut menerima input daripada pelbagai pihak berkepentingan antaranya profesor, ahli politik, budayawan dan sejarawan.

Usaha juga sedang ditumpukan bagi melatih fasilitator program supaya mereka mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk mendidik anak muda yang mengikuti program itu sebelum ia dimulakan di peringkat negeri pada bulan ini.

“Mungkin setiap negeri akan latih lebih kurang 200 orang di peringkat awal untuk kita uji sama ada program itu berkesan atau tidak,” katanya ketika ditemu bual Bernama di sini.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata program SRN yang akan dilancarkan bulan ini akan dijalankan pada hujung minggu terlebih dahulu dan ia terbuka kepada sesiapa untuk menyertainya.

Jika modul itu sudah lengkap dan sempurna, mereka akan mengadakan jelajah untuk masuk ke sekolah dan universiti melalui Sekretariat Rakan Muda yang juga berada di bawah seliaan KBS, katanya.

Program SRN ini juga selari dengan cadangan beberapa anggota Dewan Rakyat antaranya Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PH-Tanah Merah) dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) ketika sesi membahaskan rang undang-undang (RUU) untuk menurunkan had umur pengundi itu.

Pensyarah Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata, usaha kerajaan menurunkan had umur mengundi dan mendidik golongan muda akan hak mereka dilihat bagus dan tepat pada masanya demi pembangunan serta kemajuan demokrasi negara.

Bagi Dr Tunku Mohar, kejayaan kerajaan Pakatan Harapan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan had umur mengundi itu walaupun ia tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat merupakan satu pencapaian yang harus dipuji.

Ia juga satu pencapaian mengagumkan kerana sejak tahun 2008 tiada pindaan perlembagaan dapat dibuat kerana parti pemerintah sebelum ini pun iaitu Barisan Nasional juga tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Beliau juga memuji tindakan bijak Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersemuka dengan semua Ahli Parlimen tidak kira daripada blok kerajaan atau pembangkang untuk menjayakan pindaan itu.

“Tindakan Syed Saddiq juga satu strategi yang betul dalam cubaan ‘memenangi’ hati Ahli Parlimen pembangkang,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pindaan itu sebenarnya memberi kemenangan politik kepada PH selain memenuhi antara janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 mereka, katanya.

Selepas 10 hari Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 diluluskan di Dewan Rakyat, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga 25 Julai lalu.

Pindaan berkenaan turut memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara, iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Selain pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon, pendaftaran pengundi selepas ini juga akan dilakukan secara automatik.

-BERNAMA


Pengarang :