– Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Sektor awam disaran capai satu peratus peluang kerja buat OKU

PETALING JAYA, 30 OGOS: Sektor awam digesa mencapai sasaran Dasar Satu Peratus peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam perkhidmatan awam bagi menunjukkan teladan baik kepada sektor swasta.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh, berkata, sektor awam harus meningkatkan usaha memenuhi peruntukan satu peratus pekerjaan kepada OKU.

Beliau berkata sehingga 31 Disember lalu, bilangan pekerja OKU dalam perkhidmatan awam hanya 0.31 peratus atau 3,856 pekerja berbanding jumlah keseluruhan 1,268,701 pekerja sektor awam.

“Saya mengalakkan sektor awam untuk mengambil kesempatan dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan OKU,” katanya kepada pemberita selepas melawat pekerja OKU di pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Dasar satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam berkuat kuasa pada April 2008 dan pelaksanaannya adalah melalui Pekeliling Perkhidmatan pada 2008 dan 2010.

Hannah berkata, kementeriannya sudah mencapai sasaran satu peratus pekerja OKU dengan 144 jawatan diisi oleh golongan itu daripada keseluruhan 8,138 jawatan dan diikuti Kementerian Pertahanan yang menunjukkan perkembangan positif dengan capaian 0.98 peratus.

Sambil menyifatkan kunjungan ke pasar raya itu sangat bermakna, Hannah berkata beliau bangga Mydin dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa (JICA) berjaya menerbitkan sembilan buku poket manual yang menerangkan kaedah kerja dan memudahkan pemahaman OKU mengenai kerja yang perlu dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, ketika ini, Mydin mencatat jumlah 111 jawatan diisi OKU atau 1.4 peratus daripada kira-kira 8,000 kakitangan di seluruh Malaysia.

Menurutnya, 40 kakitangan dengan masalah pembelajaran, 35 (pendengaran), 31 (fizikal), empat (penglihatan) dan seorang dengan masalah kesihatan mental.

Katanya, pihaknya memulakan inisiatif pengisian jawatan oleh OKU sejak 2012 dengan pengambilan 76 pekerja, 2013 (90) dan mencapai jumlah tertinggi pada 2017 dengan 164 jawatan untuk golongan tersebut.

Sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 549,554 OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara.

— BERNAMA


Pengarang :