EXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor Agro Fest 2019 sasar jualan RM800,000

PETALING JAYA, 14 OGOS: Kerajaan Negeri menyasarkan hasil jualan RM800,000 pada Selangor Agro Fest 2019 yang bakal diadakan di Bulatan Bazarena, Seksyen 13, Shah Alam, pada 5 hingga 8 September ini.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ir Izham Hashim berkata, ia didorong faktor penganjuran ekspo kali ini yang diadakan dalam skala lebih besar dengan pelbagai pengisian menarik.

“Daripada segi jualan, kita sasarkan ada peningkatan memandangkan sebelum ini kita mampu mencapai hasil jualan RM500,000 untuk ekspo ini.

“Penganjurannya di Shah Alam sudah tentu akan menjadi tumpuan orang ramai yang bukan sahaja dari Selangor, malahan dari negeri lain, maka kita turut meletakkan sasaran pengunjung lebih 120,000 yang juga menjadi salah satu penyumbang kepada sasaran hasil jualan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Selangor Agro Fest 2019, di Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Sementara itu, Abdul Ghariff berkata, pihaknya pula menyasarkan hasil jualan antara RM100,000 hingga RM150,000 membabitkan usahawan Selangor yang berada di bawah pengurusan FAMA.

“Sasaran ini juga merangkumi jualan bagi lima kategori produk berasaskan asas tani yang akan dibawa pada ekspo berkenaan antaranya kuih-muih, snek, barangan kosmetik dan barangan kek serta pastri berasaskan pertanian,” katanya.


Pengarang :