Ir Izham pada sidang media pelancaran Selangor Agro Fest, di Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini. Foto REMY/ARIFIN
BERITA UTAMA

Selangor Agro Fest 2019 sasar lebih 120,000 pengunjung

PETALING JAYA, 14 OGOS: Lebih 120,000 pengunjung dijangka menghadiri Selangor Agro Fest 2019 yang bakal berlangsung di Bulatan Bazarena, Seksyen 13, Shah Alam, pada 5 hingga 8 September ini.

Bertemakan Pemodenan Pertanian Ke Arah Kehidupan Lestari, ekspo tahunan pertanian terbesar Selangor itu akan memfokuskan kepada penanaman dan penternakan berpulangan tinggi serta moden.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan diterima terhadap penganjuran sama yang diadakan di Kuala Selangor, tahun lalu.

“Kita menerima penyertaan sangat ramai daripada usahawan tani dari seluruh negeri pada Agro Fest di Kuala Selangor tahun lalu meliputi pelbagai bidang sama ada membuka gerai jualan atau pameran.

“Buat julung kali tahun ini, kita juga akan menarik pelajar sekolah untuk turut serta memandangkan kita akan memulakan program Agro Sekolah, pada tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran ekspo berkenaan, di Tapak Pasar Tani Kelana Jaya, di sini hari ini.

Ir Izham Hashim

Turut hadir, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, Dato’ Abdul Ghariff Ramin dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Pada masa sama, Ir Izham berkata, karnival berkenaan akan turut dijayakan melalui pembabitan 10 jabatan, agensi dan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri termasuk Majlis Bandaraya Shah Alam dalam menyediakan logistik serta susun atur selesa.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan 100 lot pameran bagi usahawan tani yang berminat untuk menyertai karnival itu dengan kadar sewa berpatutan.

“Kita menawarkan harga serendah RM200 satu lot sepanjang tempoh empat hari karnival ini, jadi usahawan perlu segera membuat tempahan bagi mengelakkan kehabisan tempat untuk jualan dan pameran.

“Tempahan sudah dibuka kepada usahawan tani dan mereka boleh menempah secara dalam talian di laman sesawang FAMA,” katanya.

Selain pameran penternakan, perikanan, pertanian dan Industri Asas Tani, karnival itu turut menganjurkan aktiviti lain antaranya jualan jimat rakyat, pertandingan masakan juadah kampung, jualan makanan istimewa daerah di Selangor, jualan kendera saji (food truck), acara kanak-kanak serta persembahan artis tanah air.

Selangor Agro Fest yang dijadikan sebagai salah satu acara tahunan sejak 2012 diadakan dengan matlamat memperkasa dan membangunkan sektor pertanian, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani di negeri itu.


Pengarang :