AGENDANASIONAL

Selangor ambil kira kepentingan semua, pelihara asas Islam

SEPANG, 17 OGOS: Kerajaan Negeri tetap memelihara asas penting agama Islam di Selangor selain mengambil kira kepentingan semua pihak dengan mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak sebelum memutuskan sebarang pindaan dibuat terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perbincangan isu terbabit turut melibatkan ahli EXCO dan mendengar pandangan 56 Ahli Dewan Negeri sebelum dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Tidak perlu tergesa-gesa memuktamadkan pindaan ini kerana melibatkan kepentingan banyak pihak.

“Saya juga mengambil kira nasihat baginda Sultan, mesyuarat Pakatan Harapan Negeri dan pusat dan dua tiga lagi perbincangan dengan pakar supaya kita dapat rumuskan satu keputusan yang baik, ini bergantung kepada kesepakatan semua dan penelitian akhir baginda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Perasmian Pesta Pantai Bagan Lalang@Sepang di sini, hari ini.

Amirudin berkata, pandangan pakar perlu diambil kira berikutan pindaan ini melibatkan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang.

Beliau turut meluahkan keyakinan, hasil semua perbincangan itu nanti akan membuahkan keputusan terbaik kepada masyarakat.


Pengarang :