BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Selangor terpilih sebagai destinasi Kongres Statistik Sedunia

SUBANG JAYA, 21 OGOS: Selangor gembira dipilih sebagai salah satu destinasi Kongres Statistik Sedunia, Institut Statistik Antarabangsa (ISI) yang sedang berlangsung ketika ini.

Berucap di ‘Malaysia by Night ISI’,  Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor adalah negeri multidemensi dan paling maju di Malaysia serta menawarkan pelbagai tarikan kepada pelancong.

Katanya, Selangor yang menjadi denyutan ekonomi negara ini turut menyumbang hampir satu perempat daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

“Selangor adalah negeri yang paling urban di Malaysia dengan kadar urbanisasi sebanyak 91.4 peratus dan memiliki penduduk paling ramai.

“Malah, dengan tenaga kerja sebanyak 3.4 juta orang, Selangor merupakan penyumbang terbesar kepada pekerjaan di Malaysia.

“Bukan itu sahaja, ramai pekerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai industri bagi menggerakkan ekonomi negara terus ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis tersebut yang diadakan di Surf Beach, Sunway Lagoon,  di sini.

Pada masa sama, Amirudin berkata, hubungan statistik dan pembuat dasar dibuat lebih berkesan dengan kemajuan teknologi dalam era revolusi perindustrian 4.0 dan ‘big data’.

“Justeru, untuk melangkah lebih jauh, Selangor melaksanakan inisiatif Smart Selangor dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai negeri pintar menjelang 2025.

“Selangor akan menggabungkan penggunaan teknologi dan inovasi untuk menyediakan penyelesaian kepada keperluan serta masalah rakyat selain mewujudkan lebih banyak peluang bernilai tinggi bagi perniagaan dan pelaburan,” katanya.

‘Malaysia by Night ISI’ dihadiri lebih 2,500 pengamal statistik daripada lebih 100 buah negara yang berkampung di Malaysia bermula 18 Ogos hingga 23 Ogos bagi menjayakan persidangan kali ke-62 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada persidangan dunia dan merupakan pengiktirafan kepada negara supaya bidang statistik lebih dikenali.

Persidangan itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini.

 

 


Pengarang :