Amiruddin Shari bergambar bersama ahli cabang Wanita KEADILAN Selangor pada Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang 2019 di Hotel Carlton, di sini hari ini. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI.
BERITA UTAMA

Selangor kekal bersama Dr Mahathir

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Selangor di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyatakan kebersamaan dengan kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga hari ini.

Bercakap kepada media, Amirudin turut menemplak Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa Dr Mahathir Mohamad ketika ini ‘bersendirian’ sebagai tidak relevan.

“Adakah dia (Ahmad Zahid) sedang bercakap dengan cermin? Rasanya yang semakin bersendirian adalah BN dan UMNO, malah jika dilihat sekarang lebih ramai daripada sana yang melompat dan bersama dengan Tun Mahathir.

“Bagi Selangor, kami tidak pernah membelakangkan Kerajaan Persekutuan, lebih-lebih lagi ia dipimpin Pakatan Harapan (PAKATAN).

“Lebih penting sekarang kita sedang melaksanakan dasar bersama Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Tun Mahathir,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung dakwaan Ahmad Zahid yang mengatakan Dr Mahathir bersendirian dalam PAKATAN.

Beliau mendakwa hal itu kerana Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sedang aktif membuat perancangan strategi menolak kepimpinan Dr Mahathir.


Pengarang :