Amirudin Shari berucap dan merasmikan Selangor International Sports Summit 2019 di Sunway Resort, Subang Jaya pada 27 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor mahu anjur SUKMA 2022, Sukan Komanwel 2026

SUBANG JAYA, 27 OGOS: Selangor berhasrat menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) edisi 2022 selepas kali terakhir menjadi penganjur pada 1998.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan status selaku juara sembilan kali, Selangor sedang mempergiat usaha mempersiap atlet bagi mengharungi SUKMA 2020 di Johor.

“Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor (SISS) 2019 menjadi satu testimoni kepada keseriusan dan kesediaan kita bagi menghadapi cabaran lebih besar iaitu SUKMA.

“Selaku juara keseluruhan terbanyak sukan dwi-tahunan itu, kita terus bersedia untuk menghadapi SUKMA tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SISS 2019 di Sunway Resort Hotel & Spa di sini, hari ini.

Amirudin Shari (tengah) bersama tetamu kehormat ketika Selangor International Sports Summit 2019 di Sunway Resort, Subang Jaya pada 27 Ogos 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata, Selangor mampu menjadi penganjur terbaik selepas 21 tahun menanti berdasarkan perkembangan ekonomi serta kemudahan sedia ada serta menjadi ‘Game-Changer’ dalam sejarah SUKMA.

Katanya, Selangor turut memasang impian menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas Kuala Lumpur melakukannya pada 1998.

“Memang penganjuran sukan itu di peringkat Persekutuan tetapi Selangor berhasrat menjadi tuan rumah seperti mana Kuala Lumpur sebelum ini.

“Negara lain juga pernah melakukannya seperti Seoul, Korea Selatan dan Atlanta, Amerika Syarikat ketika menganjurkan Sukan Olimpik,” katanya.

Dalam majlis sama, Amirudin turut menyampaikan anugerah kepada Pasukan dan Atlet Terbaik Asia 2018.

Pasukan bola sepak wanita Jepun terpilih selaku pemenang anugerah Pasukan Wanita Terbaik Asia manakala pasukan bola sepak lelaki Qatar mengungguli kategori Pasukan Lelaki Terbaik Asia.

Penyerang Tottenham Hotspur dari Korea Selatan, Son Heung-min pula dinobatkan Atlet Lelaki Terbaik Asia manakala peninju dari India, M C Mary Kom menerima anugerah Atlet Wanita Terbaik Asia.


Pengarang :