EXCOSELANGOR

Selangor mahu terus kekal status negeri kuasa sukan

PETALING JAYA, 20 OGOS: Kerajaan Negeri akan mendekati semua persatuan sukan di negeri ini bagi memastikan status Selangor sebagai negeri kuasa sukan dapat dikekalkan.

EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, turut tidak ketinggalan Kerajaan Negeri juga akan memberi peluang kepada persatuan-persatuan sukan kategori Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Bagi mencapai matlamat itu, Kerajaan Negeri akan turun padang bagi mendorong lebih banyak lagi penganjuran sukan lebih besar di Selangor.

“Selangor sangat relevan dengan penganjuran program sukan besar malah Pihak Berkuasa Tempatan turut menyediakan banyak kemudahan sukan termasuk kemudahan sukan untuk OKU.

“Persatuan Bola Sepak Selangor contohnya sudah terkenal. Jadi sudah tiba masanya kita melihat persatuan sukan lain yang kurang menonjol seperti ragbi, tenis, bola jaring untuk digilap bagi memastikan Selangor terus kekal sebagai kuasa sukan dan bukan dalam sukan bola sepak sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini pada Majlis Perasmian Kejohanan Terbuka ITF Uniqlo Selangor 2019 anjuran Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM) di Kompleks Sukan Kelana Jaya di sini, hari ini.

Mohd Khairuddin berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong penuh penganjuran sukan-sukan antarabangsa bagi merancakkan lagi pembangunan sukan di Selangor.

Justeru katanya, beliau berharap persatuan sukan khasnya WTM dan Kerajaan Negeri dapat menganjurkan kejohanan antarabangsa yang lebih besar pada masa akan datang.

Mohd Khairuddin berkata, selain ingin mengekalkan status Selangor sebagai negeri kuasa sukan, negeri ini juga mahu menggunakan sukan sebagai platform terbaik bagi menjalin hubungan erat antara kaum di negara ini.

Terdahulu, Mohd Khairuddin meluangkan masa menyaksikan Kejohanan Terbuka ITF Uniqlo Selangor yang disertai 61 pemain dari 10 negara.


Pengarang :