AGENSIPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Selangor Royal Trail Fam Trip terokai konsep pelancongan budaya

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Tourism Selangor menganjurkan ‘Selangor Royal Trail Fam Trip’ selama dua hari bermula hari ini ke tiga daerah iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat dan Klang.

Lawatan ini bertujuan memperkenalkan inisiatif pakej pelancongan baharu dikenali sebagai ‘Pakej Budaya, Sejarah dan Kesultanan DiRaja Negeri Selangor’.

Turut disertai petugas media dari agensi tempatan dan antarabangsa, pakej pelancongan ini akan menonjolkan beberapa pusat pelancongan terbaik melalui segmen warisan, kebudayaan dan kesenian.

Usaha ini juga diharapkan menjadi tarikan baharu pelancong untuk datang dan menjadikan Selangor terkenal dengan produk pelancongan berkonsepkan pelancongan budaya.

Majlis perasmian disempurnakan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari di Dewan Syarahan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Abdul Rashid dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri menyasarkan kedatangan 7.9 juta pelancong pada 2020.

Berdasarkan statistik, kemasukan pelancong ke Selangor pada tahun lalu mencatatkan 7.23 juta membabitkan pelancong domestik dan luar negara manakala pada tahun ini pihaknya menyasarkan kedatangan 7.7 juta pelancong.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :