AGENDANASIONAL

Selangor sedia siasat dakwaan korek pasir haram di Pengkalan Kelanang

SHAH ALAM, 25 OGOS: Kerajaan Negeri sedia menyiasat dakwaan wujudnya kerja mengorek pasir secara haram di Pengkalan Kelanang, Banting sehingga menjejaskan periuk nasi nelayan, di situ.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pihaknya akan mendapatkan laporan dalam masa terdekat berkenaan kejadian terbabit.

“Kita akan siasat mana-mana pihak terlibat, ini kerana kita belum ada keluarkan lesen untuk aktiviti mengorek pasir di laut, tetapi lesen mengorek pasir di sungai memang ada.

“Apapun kita akan siasat,” katanya ketika mengulas laporan media berhubung isu berkenaan, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang Peringkat Selangor 2019 di Hotel Carlton Holiday & Suites, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan pendapatan kira-kira 250 nelayan Pangkalan Kelanang merosot sehingga 70 peratus, ekoran kegiatan mengorek pasir di luar muara Sungai Langat sejak empat tahun lalu.

Melalui laporan sama, nelayan sebelum ini mampu memperoleh antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, namun perolehan mereka merosot hingga bawah RM1,000 sebulan.


Pengarang :