BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUAN

Selangor tegas isu keselamatan, ketenteraman awam

SUBANG, 5 OGOS: Selangor tidak akan berkrompomi berhubung isu keselamatan dan ketenteraman awam.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, justeru Kerajaan Negeri sentiasa bersedia dengan menjalankan program-program latihan keselamatan dan menjalin hubungan dengan pelbagai pihak bagi menangani pelbagai ancaman.

“Program yang dianjurkan hari ini merupakan program latihan keselamatan yang kedua dilaksanakan di Negeri Selangor bagi tahun 2019 setelah Malaysia Airport Berhad melaksanakan program Latih Amal Ancaman Keganasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 22 hingga 25 Julai yang lalu.

“Latihan sebegini amat penting agar setiap agensi yang berkepentingan dapat mengenal pasti kelemahan yang ada serta menambah baik prosedur dan komunikasi antara agensi yang terlibat sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Dan Table Top Exercise Anjuran Bersama Majlis Keselamatan Negara Negeri Selangor Dan Petronas Gas Berhad di Hotel Holiday Villa di sini, hari ini.

Amirudin berkata, latihan seperti ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan keselamatan dan ketenteraman awam khususnya di Selangor.

Katanya, isu ancaman keselamatan global yang kini turut dihadapi oleh negara, dikatakan bersifat tidak seimbang dan turut melibatkan ‘non-state actors’.

Amirudin turut mengimbas beberapa tragedi ancaman keganasan seperti ancaman komunis, peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan tragedi pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013.

Selain itu, ancaman kumpulan ekstremis IS atau Daesh juga perlu ditangani bersama oleh kerajaan dan rakyat.

“Setakat ini, atas usaha gigih Kerajaan dan pasukan keselamatan negara, kita telah berjaya mengekalkan keamanan serta keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun saya menjawat jawatan selaku Dato’ Menteri Besar Selangor, hasil dari kesamaan tampuk pemerintahan di peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Mesyuarat Keselamatan Negeri yang saya pengerusikan dapat berjalan pada landasan sewajarnya, alhamdulillah insiden-insiden tidak diingini berjaya ditangani dengan tangkas,” katanya.


Pengarang :