BERITA UTAMA

Selangor terus kongsi kekayaan bersama rakyat

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang diteruskan ke Selangor bakal menjamin kesejahteraan berterusan buat rakyat negeri ini selaras dengan agenda Selangor Maju Bersama.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, agenda Selangor Maju Bersama berteraskan kesedaran bahawa kemewahan ekonomi yang dinikmati negeri ini wajar dikongsi untuk semua penduduknya.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berazam untuk memastikan tidak ada sesiapa yang tercicir daripada arus pembangunan di Selangor.

“Selain inisiatif kebajikan, kita yakin perkongsian kekayaan negeri juga akan lebih berkesan menerusi dasar yang menumpukan kepada usaha pemberdayaan rakyat negeri,” katanya.

Amirudin berkata demikian pada ucapan alu-aluan Sesi Libat Urus penyediaan RMK12, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kerajaan Selangor di Hotel Concorde di sini hari ini.

Majlis tersebut dipengerusikan oleh Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang turut dihadiri kira-kira 100 kakitangan awam termasuk dalam kalangan EXCO.

Mengulas lanjut Amirudin memberitahu, menerusi sesi tersebut juga, pentadbiran negeri banyak merancang langkah-langkah untuk mendekati masyarakat bagi mendengar idea-idea mereka dalam membangunkan negeri ini.

“Banyak masa yang diluangkan dalam sesi ini yang bertujuan untuk merumuskan tawaran yang terbaik buat rakyat Selangor.

“Pemberdayaan rakyat, misalnya mampu meningkatkan kemahiran pekerja di negeri ini daripada aras kemahiran sederhana kepada aras kemahiran tinggi. Kelebihan tersebut bukan sahaja akan mengekalkan Selangor sebagai negeri termaju di negara ini, bahkan Selangor akan terus menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin impian Selangor untuk menjadi `aktor utama serantau’ akan menjadi kenyataan dengan sokongan Kerajaan Persekutuan.

“Tetapi kita tidak mahu menjadi sekadar jaguh kampung dan wajar untuk kita bersaing dengan negeri, wilayah atau kota-kota besar lain seperti Singapura, Manila, Bangkok dan Jakarta.

“Kekayaan negeri serta limpahan kemajuan ekonominya dapat diterjemahkan kepada manfaat yang bersifat jangka panjang, lestari dan kalis masa hadapan.

“Ia juga lambang pengurusan ekonomi yang lebih bertanggungjawab dan tidak memperjudikan nasib warga Selangor,” katanya.


Pengarang :