EXCOSELANGOR

Selangor tidak kompromi isu alam sekitar

SHAH ALAM, 10 OGOS: Kerajaan Negeri akan memastikan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memantau keadaan serta aktiviti kilang bateri di Jenjarom yang diberikan lesen beroperasi sementara secara ketat.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu pencemaran alam sekitar atau pihak tidak mematuhi piawaian dan peraturan sedia ada.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghormati hak perhimpunan dan bersuara oleh rakyat serta bersedia mendengar juga berbincang dengan semua pihak dalam hal pembangunan.

“Bagaimanapun, dalam isu kilang bateri ini, penduduk juga diminta bersabar sementara menunggu hasil kajian dan keputusan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam kenyataan.

Loy Sian menegaskan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang mengambil tindakan sewajarnya mengikut kehendak undang-undang.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap masalah pencemaran alam sekitar yang memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan, namun prinsip keadilan kepada pihak terbabit juga perlu dipertahankan.

“Kerajaan Negeri juga akan bertindak adil kepada semua pihak berkepentingan termasuk pelabur jika mereka mematuhi dan melakukan permohonan di bawah segala syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, Kerajaan Negeri sudah membuat beberapa siasatan dan kajian ke atas kemungkinan pencemaran terhadap air, udara serta tanah ekoran aktiviti kilang itu yang membawa kesan negatif ke atas alam sekitar juga kesihatan penduduk.

Katanya, MDKL juga diarahkan untuk menyelaras dan mengetuai tindakan mengumpul semua hasil kajian selewat-lewatnya pertengahan Ogos ini.

“Hasil kajian dan laporan menyeluruh daripada agensi yang terbabit perlu diserahkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk membuat keputusan pada akhir Ogos ini,” katanya.

Terdahulu, MDKL mengeluarkan lesen sementara selama dua bulan kepada sebuah kilang bateri, di Jenjarom selepas menerima sokongan JAS Putrajaya.

Ekoran itu, hampir 100 penduduk mengadakan demonstrasi aman dan mendesak MDKL serta JAS tidak menyambung lesen operasi sementara kilang terbabit, semalam.

Mereka mendakwa kilang bateri itu membuang sisa plumbum ke dalam saliran yang bersambung dengan sungai serta menyebabkan pencemaran udara di Jalan Sukepi, di sini.


Pengarang :