Hee Loy Sian pada majlis Penyerahan Buku Laporan Risiko Bencana: Memahami Risiko Tanah Runtuh dan Banjir di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor, universiti Jepun lancar buku laporan risiko bencana

SHAH ALAM, 23 OGOS: Kerajaan Negeri dengan kerjasama Universiti Tohoku, Jepun melancarkan Buku Laporan Risiko Bencana: Memahami Risiko Tanah Runtuh dan Banjir bagi Mengurangkan Risiko Bencana Berasaskan Sains di Negeri Selangor yang pertama di negara ini.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, sejumlah 2,000 salinan buku laporan tersebut akan diedarkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, agensi kerajaan dan pihak universiti sebagai rujukan untuk mereka berkongsi dengan komuniti mengenai risiko bencana.

Katanya, menerusi buku laporan tersebut juga, semua pihak boleh memahami risiko akan berlakunya bencana semula jadi dan mereka perlu bersedia untuk mencegahnya.

“Program yang pertama kali diadakan di negara ini bertujuan membekalkan ilmu dan kemahiran kepada kerajaan tempatan dan pemimpin masyarakat menjalankan program pengurangan risiko bencana di komuniti masing-masing.

“Menerusi program itu ia mengalakkan pembabitan masyarakat memahami risiko bencana berdasarkan ilmu pengetahuan sains,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Buku Laporan daripada Universiti Tohoku kepada Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Loy Sian berkata, empat kawasan dijadikan kawasan kajian dalam buku laporan tersebut ialah di Hulu Klang, Hulu Langat, Kapar dan Gombak.

Katanya, buku laporan itu merupakan hasil pertama program empat tahun yang dikendalikan oleh Kerajaan Negeri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan ‘International Research Institute of Disaster Science’ Universiti Tohoku.

“Sepanjang program tersebut, UTM KL menyumbangkan kepakaran teknikal dan pengetahuan tempatan mengenai kawasan risiko projek manakala Unit Pengurusan Bencana Selangor menjalankan aktiviti jangkauan untuk memberi pengetahuan dan pemahaman tersebut kepada rakyat Selangor,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, inisiatif itu sejajar dengan gagasan Smart Selangor melalui penyampaian perkhidmatan lebih baik menerusi pelbagai domain, termasuk pengurusan bencana pintar.

“Kami berjaya menubuhkan Unit Pengurusan Bencana Selangor yang mempunyai sekretariat, koordinasi dan pasukan pengurusan bencana yang cekap lagi berkesan di peringkat negeri.

“Dengan adanya program yang melibatkan peruntukan berjumlah RM2.8 juta oleh ‘Japan International Cooperation Agency’, kita kini dapat meningkatkan kapasiti untuk mengurus risiko bencana dengan lebih baik,” katanya.


Pengarang :