Selepas diberi hak memandu kereta pada Jun 2018, kini wanita Arab Saudi dibenar melancong tanpa perlu ditemani mahram atau ahli keluarga terdekat. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Wanita Arab Saudi kini dibenar melancong tanpa mahram

SHAH ALAM: Lebih 1,000 wanita Arab Saudi berusia 21 tahun ke atas mencipta sejarah apabila mereka dibenar keluar melancong tanpa ditemani mahram atau ahli keluarga terdekat pada Isnin lalu, lapor portal Al-Arabiya.

Lapor portal itu, Duta Besar Arab Saudi ke Amerika Syarikat, Putri Reema Bandar menyifatkan perkembangan terbaru tersebut sebagai “sejarah sedang tercipta.”

“Saya gembira untuk mengesahkan Arab Saudi akan meminda undang-undang buruh dan sivil yang direka untuk meningkatkan status wanita Saudi dalam masyarakat kita, termasuk memberikan hak untuk memohon pasport dan melancong secara bebas,” lapornya.

Pada awal bulan ini, Arab Saudi meluluskan undang-undang baru dengan kaum wanita yang berumur 21 ke atas dibenarkan memohon pasport dan melancong tanpa ditemani mahram.

Antara pindaan undang-undang lain adalah membenarkan wanita mendaftar perkahwinan, perceraian atau kelahiran anak dan mengeluarkan dokumen rasmi keluarga.

Ia juga menyatakan bapa atau ibu boleh menjadi penjaga yang sah terhadap anak mereka.

Terdahulu Arab Saudi mengenakan undang-undang ketat terhadap wanita, termasuk wanita jemaah haji dan umrah juga perlu ditemani mahram sebelum visa diluluskan.

Pada pertengahan Jun 2018, Arab Saudi membuat kejutan apabila membenarkan wanita di negara itu memandu kereta.


Pengarang :