AGENDA NASIONAL

Semakan elaun penjawat awam tertakluk kedudukan kewangan kerajaan

PUTRAJAYA, 7 OGOS: Kajian penambahbaikan Elaun Perumahan Wilayah (EPW) dan Bayaran Insentif Wilayah (BIW) serta elaun lain penjawat awam akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, kata Jabatan Pekhidmatan Awam (JPA).

Bagaimanapun, JPA dalam kenyataan hari ini berkata, kebolehlaksanaan kajian itu tertakluk kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan.

“JPA ingin menjelaskan, kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penjawat awam melalui pemberian elaun yang dapat membantu meringankan keperluan sara hidup penjawat awam,” katanya.

JPA berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dua hari lalu supaya EPW dan BIW disemak semula ekoran kos sara hidup yang semakin meningkat.

Menjelas lanjut, katanya pemberian EPW kepada pegawai yang bertukar wilayah adalah bantuan perumahan dengan kadar ditetapkan berdasarkan purata kadar sewa pasaran mengikut lokasi diperakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Kementerian Kewangan.

JPA berkata, penentuan kelayakan kadar EPW berpandukan kepada bandar atau kawasan di mana letaknya pejabat pegawai.

“Sebagai contoh, Pembantu Tadbir Gred N19 yang bertugas di Kuching bertukar wilayah ke Putrajaya, maka pegawai akan menerima EPW dengan kadar RM500 berbanding RM300 kadar ITP (Imbuhan Tetap Perumahan) yang dinikmatinya semasa bekerja di Kuching,” katanya.

Bagi BIW pula, JPA berkata ia bagi membantu meringankan kos sara hidup pegawai yang bertukar wilayah dan juga dinikmati pegawai berasal dari Sabah dan Sarawak yang bertugas di wilayah asal masing-masing.

Katanya, BIW dibayar berdasarkan peratusan tertentu iaitu di antara 12.5 peratus hingga 22.5 peratus yang ditetapkan berdasarkan lingkungan gaji seseorang pegawai dengan bayaran lebih tinggi diberikan kepada pegawai dalam lingkungan gaji lebih rendah, selaras keperluan dan kebajikan pegawai.

“Sebagai contoh, Pembantu Tadbir Gred N19 yang menerima gaji RM1,952 sebulan akan menerima BIW pada kadar 20 peratus daripada jumlah gajinya.

“Namun, apabila gaji pegawai meningkat kepada RM2,252, pegawai akan menerima BIW pada kadar 17.5 peratus daripada jumlah gajinya.

-BERNAMA


Pengarang :