AGENDASUKANKINI

Sembilan muka baharu sertai latihan skuad Harimau Malaya

SHAH ALAM, 20 OGOS: Sembilan pemain muka baharu disenaraikan untuk sesi latihan pusat di Wisma FAM di Kelana Jaya, mulai Ahad ini bagi menghadapi perlawanan persabahatan menentang Jordan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan berkata, sembilan pemain itu ialah penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Jothy dan tonggak pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari yang sebelum ini terpaksa diketepikan pada Jun lalu kerana kecederaan.

Selain itu, katanya, turut menampilkan tiga lagi pemain Perak iaitu Brendan Gan, J Partiban dan Nazirul Naim Che Hashim serta dua pemain Felda United iaitu Muhammad Hadin Azman dan Muhammad Danial Amier Norhisham.

Turut disenaraikan ialah pemain JDT, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain PKNS FC, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

“FAM menyenaraikan 27 pemain bagi sesi latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Ogos ini.

“Perlawanan ini berlangsung sebelum bertemu Indonesia pada perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, 5 September ini,” katanya.

Kenyataan itu menyebut, muka baharu berkenaan akan menggantikan lima pemain daripada skuad 23-pemain yang menewaskan Timor Leste melalui agregat 12-2 pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

“Lima pemain yang digugurkan ialah Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Mohd Syazwan Zainon (Selangor), D Kenny Pallraj (Perak) dan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin (PKNS FC).

“Manakala, ima pemain lagi iaitu penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid; Amirul Azhan Aznan (Perak), Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin (Sabah) serta Muhammad Syazwan Andik diletakkan dalam senarai bersedia jika mana-mana pemain dalam senarai 27 pemain yang dipanggil itu mengalami kecederaan,” katanya.

Senarai 27 pelatih skuad Harimau Malaya:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah).

Pemain pertahanan: Adam Nor Azlin dan La’vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad; Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (PDRM FC).

Pemain tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United).

Pemain sayap: Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United).

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).


Pengarang :