BERITA UTAMA

Seorang lelaki mangsa terbaharu rabies

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai satu (1) kes baharu disahkan rabies iaitu seorang lelaki berumur 46 tahun dari Kota Padawan, Kuching, Sarawak. Beliau telah disahkan jangkitan rabies melalui ujian makmal yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 9 Ogos 2019. Pesakit telah meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi. KKM mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Kes ini mempunyai sejarah digigit oleh anak anjing peliharaannya di bahagian belakang tapak tangan kanannya pada 15 Jun 2019. Ia berlaku semasa beliau menangkap anjing tersebut yang merayau di luar kawasan rumahnya.

Pada hari yang sama juga anak perempuan beliau yang berumur lapan (8) tahun telah digigit oleh anjing tersebut. Anak anjing ini diambil daripada seorang rakan beliau yang tinggal di Kuching pada penghujung bulan Mei 2019 lalu dengan status pelalian rabies anjing tersebut tidak diketahui.

Pada hari kejadian, kedua-dua beranak ini telah mencuci luka tersebut selama 15 minit. Kes telah membawa anaknya ke Klinik Kesihatan pada 17 Jun 2019 dan telah dirujuk ke Post Bite Clinic (PBC) di Hospital Umum Sarawak (HUS). Pada keesokan harinya, beliau membawa anaknya ke PBC dan telah diberi dos pertama vaksin rabies.
Sepanjang kes membawa anaknya untuk mendapatkan rawatan termasuk lawatan susulan ke klinik bagi melengkapkan pemberian vaksin rabies, beliau tidak pernah memaklumkan kepada mana-mana kakitangan kesihatan bahawa beliau juga telah digigit oleh anjing tersebut.

Pada 29 Julai 2019, kes mula mengalami demam, sakit kepala dan rasa lenguh di bahu kanannya.

Beliau telah mendapatkan rawatan di dua (2) buah Klinik Kesihatan berbeza pada 31 Julai 2019 dan 2 Ogos 2019 tetapi tidak juga memaklumkan sejarah digigit anjing. Pada 3 Ogos 2019, kes telah mendapatkan rawatan di HUS apabila gejala bertambah teruk dan akhirnya memaklumkan bahawa beliau mempunyai sejarah digigit oleh anjing. Berikutan itu, beliau telah dimasukkan ke Wad Penyakit Berjangkit HUS. Keadaan kes pada masa itu adalah agresif, hydrophobia, aerophobia, demam, sakit kepala dan lemah di bahagian tangan. Keadaan kes bertambah teruk dan disahkan meninggal dunia pada 7 Ogos 2019 jam 2.51 pagi. Buat masa ini anak perempuan yang telah digigit oleh anjing yang sama berada dalam keadaan sihat dan dalam pemantauan pihak kesihatan.

Dengan pengesahan ini, kes disahkan rabies dalam kalangan manusia di Sarawak semenjak pengisytiharan wabak pada 1 Julai 2017 adalah 20 kes; termasuk 19 kematian. Daripada 20 kes tersebut, empat (4) kes berlaku pada tahun 2019.

Kes ini merupakan kes keempat mangsa gigitan oleh anjing yang diambil daripada individu lain dengan status vaksinasi rabies haiwan tersebut tidak diketahui.

Justeru, KKM ingin sekali lagi memberi penekanan kepada orang ramai khususnya di Sarawak agar TIDAK MENGAMBIL / MEMUNGUT ANJING atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies, walaupun ia berada dalam kawasan kejiranan kerana dikhuatiri kemungkinan haiwan tersebut telah dijangkiti virus rabies dan ia sedang dalam tempoh pengeraman sebelum haiwan menunjukkan gejala.

KKM juga ingin menegaskan bahawa SELEPAS MENCUCI LUKA GIGITAN dengan sabun dan air yang mengalir sekurang-kurangnya 15 MINIT, mangsa gigitan perlu SEGERA mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di klinik atau hospital kerajaan yang berdekatan.

Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar memandangkan kebanyakan kawasan di Sarawak adalah positif rabies. Risiko jangkitan rabies disebabkan gigitan anjing dan haiwan lain di Sarawak adalah tinggi memandangkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sarawak pernah melaporkan bahawa 40% daripada anggaran 1,000 ekor anjing di negeri itu yang telah dijalankan ujian rabies ke atasnya adalah positif virus rabies.

Ahli keluarga juga digesa untuk memaklumkan kepada doktor atau pihak kesihatan sekiranya terdapat di kalangan ahli keluarga yang digigit haiwan bagi memastikan rawatan sewajarnya segera dapat diberikan.

Orang ramai dikehendaki sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan memberi kerjasama dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies yang dijalankan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi mencapai Sarawak bebas rabies.

-BERNAMA


Pengarang :