AGENDAJENAYAH

Seorang lelaki, wanita Singapura hilang di perairan Mersing

JOHOR BAHRU, 9 OGOS: Seorang lelaki dan wanita rakyat Singapura dilapor hilang ketika berkayak di perairan Mersing semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata Tan Eng Soon, 62, dan Puah Geok Tin, 57, yang hubungan kedua-duanya ialah sebagai rakan, dilaporkan hilang kira-kira 5.40 petang.

“Kedua-dua mereka (Tan dan Puah) bersama 15 lagi rakan lain memulakan aktiviti berkayak dari Jeti Penyabong, Mersing pada 10 pagi.

“Kira-kira 5.40 petang, semasa berada antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang di perairan Endau dekat Mersing, mereka dipercayai terpisah dari kumpulan rakan berikutan laut bergelora dan angin kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nor berkata usaha mencari Tan dan Puah dilakukan rakan-rakannya, namun, gagal lalu salah seorang daripada rakannya membuat laporan di Balai Polis Rompin, Pahang pada 10.30 pagi tadi.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) Tan dan Puah melibatkan empat anggota dari Balai Polis Endau, sebuah bot marin bersama empat anggota, empat anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia serta sebuah bot kilat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bersama lima anggota.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang, kata Mohd Nor.

Sementara itu, APMM menerusi kenyataan berkata operasi SAR digerakkan pada 3.30 petang tadi dan Pangkalan Hadapan Carilamat turut ditubuhkan di Jeti Penumpang Penyabong, Endau dekat Mersing.

Tan dan Puah menaiki kayak berwarna hijau terang, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA


Pengarang :