Azuan menerangkan kepada Dr Siti Mariah berhubung kejadian kebakaran di Kampung Alah Batu, Slim River yang meragut tiga nyawa. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sepupu terkilan tidak sempat tunai hajat mangsa

HULU SELANGOR, 20 OGOS: “Esok pagilah bagi roti itu, aku nak rehat dulu,” itulah kata-kata terakhir Mohd Sharidan Abdul Aziz kepada sepupunya, Azuan Abdullah Sani sebelum terkorban dalam insiden kebakaran di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim, kelmarin.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, mangsa Mohd Sharidan, 29 bersama isteri Siti Rafini Mohd Rafiee, 27, dan anak mereka Rafiq Mohd Sharidan, 14 bulan rentung di kediamannya.

Azuan, 37, ketika ditemui melahirkan rasa terkilan kerana terpaksa menangguhkan hajat sepupunya menikmati roti benggali kegemarannya ekoran kehabisan stok.

“Sekitar 10 malam sebelum kejadian, kami berbual dan bergurau senda memandangkan rumah kami berhadapan sahaja dan Allahyarham seorang yang sangat peramah, baik hati serta suka berjenaka.

“Ketika kejadian, saya belum tidur dan terdengar bunyi kaca di luar rumah. Apabila saya keluar, api sudah mulai marak, kami cuba menyelamatkan mangsa namun gagal,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui pada Majlis Serahan Bantuan bencana oleh Kerajaan Negeri yang disampaikan EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Ahad lalu, tiga sekeluarga termasuk seorang bayi maut dalam kebakaran di kediaman mereka.

Bagaimanapun, punca kejadian masih belum diketahui.


Pengarang :