Ucapan Ketua Konvoi KMJG 2019, Aszahari Abd Rahman ketika Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Negeri Selangor Daerah Petaling di UTC Shah Alam pada 22 Ogos 2019.-Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Shah Alam hentian ke-48 Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019

SHAH ALAM, 22 OGOS: Shah Alam menjadi destinasi ke-48 Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2019 yang disertai 133 peserta singgah selepas menempuh perjalanan hampir 3,800 kilometer (km) mengelilingi Semenanjung Malaysia.

Ketua Konvoi, Aszahari Abd Rahman berkata, selain pusat bandar ini, konvoi berkenaan turut singgah di beberapa kawasan lain di negeri ini seperti diTanjung Karang, Kuala Selangor, Jeram, Kapar, Klang, Bukit Tinggi, Klang dan Teluk Panglima Garang.

Tidak ketinggalan, konvoi itu juga akan berhenti di Jenjarom, Banting, Morib, Beranang, Semenyih, Kajang, Bandar Baru Bangi, Serdang, Seri Kembangan, Bukit Jalil, Kinrara dan Bandar Puteri Puchong.

Katanya, konvoi berkenaan diiringi 62 kenderaan termasuk 30 buah motosikal berkuasa tinggi daripada Kelab Permotoran J17 bersama 15 buah motosikal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan penglibatan seramai 133 peserta.

Menurut beliau, konvoi edisi ke-17 pada tahun ini turut melibatkan Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan serta dijadual melalui perjalanan sejauh 6,200 km yang juga signifikan dengan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-62.

“KMJG adalah salah satu aktiviti Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang dalam kalangan rakyat Malaysia bersempena sambutan Hari Kebangsaan.

“Semangat cintakan negara diterjemah melalui tema “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” yang digunakan pada sambutan tahun ini.

“Ini juga adalah manifestasi Kerajaan Malaysia Baharu dalam memastikan negara ditadbir dengan baik sesuai dengan slogan ‘Membina Negara dan Memenuhi Harapan’ yang menekankan kepentingan perpaduan serta semangat cintakan negara demi kesejahteraan dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Merdeka @ Komuniti & Pitstop Kembara Jalur Gemilang di UTC Shah Alam di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, Pegawai Daerah Petaling, Datin Paduka Roslinah Md Jani dan Penaung Kelab Permotoran J17, Tunku Dato Hassan Tunku Mohammed Archibold.

Aszahari berkata, penganjuran itu juga bertujuan membolehkan rakyat menghayati semangat Rukun Negara yang merupakan tonggak perpaduan sebagai panduan dan amalan hidup rakyat negara ini.

“Kami juga mahu meningkatkan kesedaran dan menggalakan rakyat mengibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019,” katanya.


Pengarang :