PBTSELANGOR

‘Shah Alam Trees For Life’ serentak di 25 kawasan

SHAH ALAM, 27 OGOS : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menganjurkan program ‘Shah Alam Trees For Life’ secara serentak di 25 kawasan pentadbirannya, pada 24 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, program itu dilaksanakan sebagai usaha untuk merealisasikan matlamat menjadikan Shah Alam bandar raya rendah karbon menjelang 2030.

“Sehingga kini, program ‘Shah Alam Trees For Life’ sudah dilaksanakan sebanyak 63 kali dengan jumlah sukarelawan seramai 19,708 sejak 2010 sehingga tahun lalu.

“Sepanjang program ini, kita juga berjaya menanam 117,199 jenis pokok buah-buahan, herba, teduhan dan renek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, MBSA berjaya menanam 2,000 pokok renek dan 100 pokok teduhan di beberapa kawasan sekitar Shah Alam antaranya sekolah, pejabat Ahli Majlis, dewan majlis dan Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pokok yang sudah ditanam adalah sebanyak 50,000 pokok renek dan 2,500 pokok teduhan di Shah Alam,” katanya.

Dalam usaha merealisasikan matlamat bandar raya rendah karbon, MBSA turut mengadakan program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Perintis Hijau Dusun@My Sekolah Shah Alam, Kebun Komuniti Shah Alam, Penyediaan Trek Basikal Shah Alam dan Bas Smart Selangor.


Pengarang :