RENCANAWAWANCARA

Si tangan kreatif meriahkan hari kebangsaan

Tanpa insan-insan berjiwa kreatif ini, sambutan ulang tahun kemerdekaan negara mungkin terasa hambar.

Mana tidaknya, bermula daripada pakaian, kenderaan sehingga ke makanan semuanya mampu dihias cantik menggunakan bendera kebanggaan negara, Jalur Gemilang. Semuanya dilakukan semata-mata mahu menambah ‘mood’ ceria sempena hari kemerdekaan tidak lama lagi.

Bagi seorang tukang jahit, Norhidayah Azemi, kemahirannya menghasilkan kostum unik menggunakan fabrik bercorak ala Jalur Gemilang membuatkan dia tidak menang tangan setiap kali menjelang tarikh keramat 31 Ogos.

Cerita wanita berusia 34 tahun itu, pada awalnya dia hanya menjahit kostum untuk anaknya, namun ada kaum ibu yang menempah baju bertemakan bendera untuk kegunaan anak masing-masing.

Tambah mengejutkan, apabila lelaki dan wanita dewasa juga tidak ketinggalan untuk memilikinya.

“Saya tidak menggunakan bendera Malaysia untuk menghasilkan kostum ini, sebaliknya menggunakan fabrik sama seperti warna bendera,” ujar pemilik kedai dalam talian, Mamadila Boutique.

Tambah menarik apabila Norhidayah turut menawarkan khidmat sewaan kostum pakaian kemerdekaan buat mereka yang tidak berkemampuan untuk menempah baju khas itu.

“Pada saya, bukan keuntungan yang dikejar sebaliknya bakat menjahit yang dimiliki ini membolehkan ulang tahun kemerdekaan negara terasa lebih meriah dan paling penting mungkin itu antara sumbangan saya buat Malaysia,” katanya.


Pengarang :