Amirudin Shari berkata sesuatu kepada Dato Soo Kai Chee sambil diperhati Eric Lee pada sesi bergambar selepas MoU di Majlis Selangor International Furniture City (SIFC) Launching By KL & Selangor Furniture Association (KSFA) di The Place @ One City Subang pada 19 Ogos 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

SIFC hab perabot terbesar bakal dibuka di Sungai Buaya

SUBANG JAYA, 19 OGOS: Selangor bakal menjadi hab perabot terbesar setelah projek International Furniture City @ Selangor (SIFC) bakal dilaksanakan di Sungai Buaya, Rawang menjelang suku pertama 2020.

Bagi merealisasikan projek berkenaan, majlis menandatangi memorandum persefahaman (MoU) diadakan di antara Persatuan Perabot Kuala Lumpur dan Selangor (KSFA), B&G Property dan MJD Land Sdn Bhd (MJD Land), hari ini.

MoU itu ditandatangani Presiden KSFA, Eric Lee; B&G Capital Resources Bhd, Tan Sri Barry Goh dan Pengarah MJD Land, Sallehuddin Ahmad.

Majlis berkenaan turut disaksikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari sekali gus melancarkan SIFC di The Place One City.

Amirudin Shari menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman Selangor International Furniture City @Selangor di The Place @ One City Subang pada 19 Ogos 2019. Foto EMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata, pembangunan SIFC akan menjana peluang pekerjaan bagi sektor perindustrian seterusnya merangsang jualan domestik dan kitaran ekonomi dalam negara.

“Saya percaya SIFC akan menjadi satu pelan yang boleh dilaksanakan dengan jaya kerana ia sejajar dengan matlamat kerajaan untuk mencapai jumlah eksport perabot bernilai RM20 bilion menjelang 2025.

“Oleh itu, saya yakin penubuhan SIFC bukan sahaja akan meningkatkan taraf industri perabot Malaysia secara drastik malah menjadi pemangkin kepada peningkatan sumbangan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

Sementara itu, Eric berkata, SIFC yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur akan membabitkan pembinaan berkeluasan 700 ekar serta melalui dua fasa pembinaan.

“Kini KSFA akan memfokuskan penjualan bagi 255 lot yang membabitkan pembinaan seluas 290 ekar tanah.

“Kami yakin melalui pembinaan SIFC ini akan dapat mengatasi masalah kilang haram sekali gus melonjakkan jenama Buatan Malaysia,” katanya.


Pengarang :