BERITA UTAMA

Singapura bakal lanjut usia bersara kepada 65 tahun

SINGAPURA, 19 OGOS: Singapura akan melanjutkan umur persaraan untuk perkhidmatan awam republik itu kepada 65 tahun, pada 2021 berbanding 62 tahun sekarang.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, pada Rapat Hari Kebangsaan 2019 yang berlintas langsung di ITE College Central di sini semalam.

Umur untuk pengambilan semula bekerja juga dilanjutkan kepada 70 tahun daripada 67 tahun, katanya.

“Sebagai majikan utama, Kerajaan akan akan menjadi contoh bagi pegawai awam,” katanya dan menggalakkan syarikat swasta juga melakukan perkara sama.

Beliau berkata, perubahan itu akan membantu pekerja lebih tua untuk terus bekerja dalam tempoh lebih lama dan menjadi lebih berdikari daripada segi kewangan.

Melanjutkan had umur persaraan dan had umur bekerja semula adalah antara empat cadangan yang dikemukakan Kumpulan Kerja Tiga Pihak mengenai Pekerja Lebih Tua yang ditubuhkan oleh Kementerian Tenaga Manusia tahun lalu.

Kumpulan kerja itu terdiri daripada wakil dari Kerajaan, kesatuan buruh dan sektor swasta.

“Saya fikir ini adalah cadangan yang munasabah. Kerajaan menerima cadangan itu sepenuhnya,” katanya.

Dua lagi cadangan adalah untuk menambah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pusat bagi pekerja yang lebih tua; dan untuk mencapai semua ini secara berperingkat, sekitar 2030.

Had umur persaraan di Singapura kali terakhir dilanjutkan ialah 20 tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :