Datuk Darell Leiking (tengah) bersama Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali (kiri) dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Prof Dr Ahmad Fadzil Mohamad Hani melihat lampu jalan berkuasa solar di Bangunan SIRIM, Shah Alam pada 6 Ogos lalu. Foto SIRIM
AGENSISELANGOR

SIRIM perkenal lampu jalan LED berkuasa solar

SHAH ALAM, 7 OGOS: SIRIM Berhad memperkenalkan sistem lampu jalan Diod Pemancar Cahaya (LED) berkuasa solar menggunakan teknologi tiang komposit dan bateri Litium Ion yang mesra alam serta menjimatkan tenaga.

Inovasi daripada agensi penyelidikan dan teknologi utama negara itu dikomersialkan dengan pemasangan 99 tiang lampu di sekitar Seksyen 7, di sini, di bawah seliaan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) yang menjimatkan tenaga elektrik 13.5 MWh setahun.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali berkata, sistem lampu jalan itu dijana melalui tenaga solar boleh diperbaharui dan mampu mengurangkan pembebasan karbon dioksida menggunakan bahan komposit tahan karat, bersifat penebat tinggi, kukuh serta ringan.

“Jika teknologi ini diperluas di seluruh kawasan MBSA yang menggunakan hampir 46,000 tiang lampu, impak penjimatan elektrik yang akan dicapai adalah sebanyak 30.2 GWh setahun.

“Pengurangan karbon dioksida sebanyak 21,000 tan setahun dapat direalisasikan, sekali gus menyumbang kepada Local Agenda 21 ke arah Bandar Rendah Karbon,” katanya.

Terdahulu, pelancarannya disempurnakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking pada Perhimpunan Bulanan kementerian berkenaan dan agensi di bawahnya, semalam.

Beliau berkata, tiang lampu solar berkenaan diperakui selamat kerana bahan digunakan tidak berisiko untuk terkena renjatan elektrik selain lebih ringan dan mudah diangkat berbanding tiang lampu besi yang biasa digunakan.

Katanya, pemasangan lampu jalan itu mudah dengan pelaburan awal yang berpatutan memandangkan proses pemasangan tiang lampu solar itu tidak memerlukan kerja sivil, mekanikal dan pendawaian yang rumit.

“Teknologi berkenaan sesuai digunakan di kawasan terpencil seperti tempat yang tidak mempunyai infrastruktur grid, luar bandar dan kawasan berhampiran dengan laut,” katanya.

Sehingga kini, sistem lampu jalan LED berkuasa solar itu sudah dipasang di beberapa lokasi antaranya Jeti Nelayan, Kuala Dulang, Yan, Kedah; Jeti Nelayan, Pulau Tuba, Langkawi, Kedah; Jeti Nelayan, Kg Bakau Tua, Seberang Prai, Pulau Pinang; dan Pantai Murni Yan, Kedah.


Pengarang :