Exco Kerajaan Negeri Selangor Khairuddin Othman ketika sesi Sidang Media Selangor International Sports Summit 2019 di Sunway Resort, Subang Jaya pada 20 Ogos 2019. – Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

SISS 2019 lonjak nama Selangor ke peringkat antarabangsa

SHAH ALAM, 20 OGOS: Penglibatan nama-nama besar dalam Sidang Kemuncak Sukan Antarabangsa Selangor (SISS) 2019 bakal melonjakkan nama negeri ini ke peringkat antarabangsa.

EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairudddin Othman berkata, antara nama terkenal yang akan terlibat pada sidang kemuncak itu ialah Jawatankuasa Tertinggi Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Khalid Al-Naama dan Presiden Diplomasi Sukan Antarabangsa Korea, Prof Rocky Kang Ro Yoon.

“Tambah menarik, SISS 2019 akan turut disertai 30 delegasi Kesatuan Akhbar Sukan Dunia (AIPS Asia) serta 300 peserta dari dalam dan luar negara,” katanya pada sidang media Selangor International Sports Summit di Hotel Sunway Resort, hari ini.

Hadir sama, Naib Presiden AIPS Asia, Khawari Isa, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri, Adi Faizal Ahmad Tarmizi dan Setiausaha Jawatankuasa Penganjur SISS 2019, Venu Ramadass.

Mohd Khairudddin berkata, acara itu akan memberi fokus kepada perbincangan isu terkini berkaitan sukan termasuk sesi perkongsian pengalaman mengenai penganjuran kejohanan besar dunia seperti Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia FIFA 2022.

“SISS bukan sahaja mampu melonjakkan nama Selangor sebagai penganjur acara sukan antarabangsa, malah memberi impak positif kepada sektor pembangunan sukan, ekonomi dan juga pelancongan. Kerjasama erat dengan gabungan wartawan sukan Asia juga dapat membantu negeri ini untuk menjadi tuan rumah pelbagai temasya sukan bertaraf antarabangsa.

“Saya yakin perkongsian idea dan sesi diskusi yang mengupas secara lebih mendalam mengenai pendekatan terkini, trend dan masa depan industri sukan ini turut berperanan sebagai faktor penyumbang kepada pembangunan negeri, negara dan serantau,” katanya.

SISS 2019 akan diadakan pada 27 Ogos ini bertempat di Grand Ballroom, Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, Subang Jaya.

Pada sidang kemuncak itu akan turut diadakan ‘Awards for Asia 2018’ iaitu anugerah pengiktirafan kepada kepada atlet terbaik dari benua Asia dan proses pencalonan membabitkan 30 negara ditentukan oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia.

Empat kategori anugerah yang dipertandingkan ialah Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Asia, Anugerah Atlet Wanita Terbaik Asia, Anugerah Atlet Lelaki Berpasukan Terbaik Asia dan Anugerah Atlet Wanita Berpasukan Terbaik Asia.


Pengarang :