Bryan Lai Wai Chong menyerahkan kelulusan kebenaran merancang kepada pihak sekolah, disaksikan Ng Sze Han di hadapan tapak SJKC Choon Hwa, Lembah Maju pada 27 Ogos 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

SJKC Choon Hwa bakal dibina di Lembah Maju

AMPANG, 27 OGOS: Isu kelewatan membina tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Hwa di Lembah Maju di sini selesai selepas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memberi kelulusan untuk pembinaan bangunan terbabit.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Bryan Lai Wai Chong berkata, dengan keputusan itu, pihaknya menjangkakan pembinaan SJKC Choon Hwa akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Sebelum ini, SJKC Choon Hwa terletak di Batu 18, Hulu Langat tetapi kini dipindahkan ke Lembah Jaya kerana berdepan dengan beberapa masalah.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14, kita berusaha menyelesaikan masalah berkaitan pembinaan sekolah dan akhirnya semalam MPAJ bersetuju memberikan kelulusan untuk membina sekolah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas pengumuman Kelulusan Kebenaran Merancang oleh MPAJ dan melawat tapak SJKC Choon Hwa di Lembah Maju.

Turut hadir menyaksikan penyerahan Kelulusan Kebenaran Merancang ialah EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Sementara itu, Bryan berkata, sejurus mendapat Kelulusan Kebenaran Merancang, beliau difahamkan pihak sekolah akan mula menghantar pelan infrastruktur kepada MPAJ untuk tindakan selanjutnya.

“Jika tiada bantahan sekolah itu akan mula dibina tidak lama lagi,” katanya.

SJKC Choon Hwa bakal dibina di tapak berkeluasan 1.215 hektar dengan dilengkapi blok bilik darjah, kantin dan dewan. SJKC Choon Hwa yang sebelum ini terletak di Batu 18, Hulu Langat dipindah ke lokasi baharu kerana kekurangan murid.


Pengarang :