Kebakaran hutan tanah gambut di daerah Pelalawan sebuah wilayah di Pulau Sumatra yang menjadi jiran Singapura dan Malaysia pada 2 Ogos 2019. Foto AFP
AGENDANASIONAL

SK Kuala Baram 2 di Miri catat kualiti udara berbahaya

KUCHING, 12 OGOS: SK Kuala Baram 2 di Miri merekodkan kualiti udara berbahaya dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat kepada 342 setakat 3 petang ini berbanding 317 pada 11 pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak dalam satu kenyataan berkata satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat iaitu di Stesen Pengawasan Udara Automatik yang terletak di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dengan bacaan IPU 297.

“Dua stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dari stesen Sibu dan Sri Aman manakala baki sembilan stesen lagi menunjukkan bacaan pada tahap sederhana,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-19, mengesan 56 titik panas di Kalimantan, dua di Sumatera, Indonesia manakala empat titik panas dikesan iaitu dua di Miri serta satu masing-masing di Sibu dan Kapit, Sarawak.

“Dalam hal ini, pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan kepada NADMA (Agensi Pengurusan Bencara Negara) untuk melakukan pembenihan awan di kawasan Miri, Kuala Baram, Sibu dan Sri Aman.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :