Meabh Jaseprine Qouirin, ibu Nora Anne, bersama suaminya, Sebastian Marie Philipe,mengucap terima kasih kepada anggota pasukan SAR yang mencari gadis itu pada 4 Ogos lalu. Foto BERNAMA
BERITA UTAMA

Skala pencarian remaja Ireland dikecilkan

NILAI, 10 OGOS: Skala pencarian remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, dikecilkan dari 6 kilometer (km) radius kepada 4 km radius dari lokasi kejadian, kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata ini kerana polis percaya remaja itu tidak akan pergi jauh dari chalet yang diinap keluarganya.

Bagaimanapun katanya setakat ini belum ada petunjuk positif terhadap usaha pencarian Nora Anne, yang hari ini memasuki hari ketujuh selepas dia dilapor hilang pagi Ahad, dan turut menegaskan polis akan berusaha sedaya upaya untuk menjejakinya.

“Anggota SAR (mencari dan menyelamat) akan membuat penelitian yang lebih terperinci di kawasan pencarian yang memfokuskan kawasan curam, celah-celah semak dan batu serta kawasan penginapan keluarga mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Pantai, Seremban, hari ini.

Mohamad berkata siasatan yang dijalankan polis meliputi pelbagai sudut, termasuk mengambil keterangan daripada pemandu teksi yang membawa keluarga Nora Anne ke resort berkenaan selain menjalankan siasatan terhadap penduduk yang mempunyai rekod jenayah lampau.

Setakat ini polis tidak mempunyai sebarang bukti bagi mengaitkan kejadian itu dengan kes penculikan, katanya.

Ditanya mengenai tempoh operasi itu akan dijalankan, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh dan menegaskan ia bergantung kepada keadaan dan petunjuk yang diperolehi kelak.

Sementara itu, Mohamad berkata anggota yang terlibat dalam operasi diberi perlepasan untuk menunaikan solat Aidiladha esok.

Operasi SAR hari ini melibatkan 317 anggota berbanding 261 anggota semalam.

Selain pelbagai unit Polis Draja Malaysia (PDRM), agensi lain yang turut terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.

Ahad lepas, Nora Anne yang mengalami masalah pembelajaran itu, dilapor hilang selepas tiba bersama ibu bapanya di Malaysia pada Sabtu, untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapannya oleh keluarganya pada pukul 8 pagi.

-BERNAMA


Pengarang :