AGENDANASIONAL

Skim mySalam tidak beri keuntungan mana-mana syarikat

SHAH ALAM, 21 OGOS: Kementerian Kewangan menafikan dakwaan Skim Perlindungan Nasional B40 (mySalam) bermotifkan keuntungan seperti yang diterbitkan dalam sebuah artikel tulisan Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar), Ab Jalil Backer.

Sebaliknya, skim tersebut merupakan tawaran kerajaan kepada kumpulan berpendapatan rendah yang layak seramai 3.8 juta individu.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut, dan faedah simpanan terkumpul akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.

“Kerajaan ingin sekali lagi menegaskan bahawa tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui skim mySalam. Dakwaan-dakwaan sinis artikel komentar yang diterbitkan oleh Sinar Harian adalah palsu sama sekali.

“Kementerian Kewangan Malaysia dan Bank Negara Malaysia telah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat,” katanya.

Katanya, artikel seperti itu berdasarkan fakta palsu dan tajuk yang sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim ini.

“Kerajaan sentiasa prihatin akan beban kewangan rakyat terutamanya ketika kecemasan kesihatan yang tidak dijangka.

“Maklumat tentang skim ini boleh didapati dengan mudah melalui laman web Skim mySalam di www.mysalam.com.my,” katanya.

MySalam mula dilaksanakan pada Januari 2019 sehingga Disember 2023 dengan peruntukan RM2 bilion merupakan inisiatif skim takaful perlindungan kesihatan percuma untuk golongan B40.


Pengarang :